Sabtu, 20 Ogos 2011

Jodoh Ketentuan Tuhan...


Ramai orang sering mengatakan, “tiada jodoh”, “jodoh di tangan Tuhan” dan yang seumpama dengan keduanya. Ya, memang itu adalah sebuah hakikat yang tidak susah untuk diterima. Malah, bagi orang yang mengaku beriman kepada Allah, mempercayai hakikat jodoh dan ajal ditangan Tuhan bukan persoalan. Malangnya ketika tiba kepada alam nyata bukan alam teori dan ideologi begitu ramai manusia yang tidak menunjukan keyakinan sebenar mereka mengenai persoalan ini ke dalam tindakan mereka. Buktinya, begitu ramai dari manusia berusaha untuk menentukan jodoh padahal jelas sebelumnya dia mengatakan bahawa jodoh adalah urusan Tuhan untuk menetapkan.
Memang rumit membahas perkara berkaitan ketentuan dan usaha yang perlu manusia lakukan dalam membentuk sebuah ketentuan. Dalam kata lain, Ketetapan atau ketentuan Allah SWT telah termaktub sejak azali lagi. Manusia pula yang meyakini hal ini kadang-kadang lupa sehingga terlalu hanyut dalam  kemampuan dan usaha sendiri sehingga dengan sengaja atau pun tidak, sedar atau pun tidak, mereka melanggar batasan-batasan Allah.
Jika kita yakin bahawa jodoh di tangan Allah, mengapa perlu kita berusaha sehingga melanggar batasan yang telah Allah tetapkan. Pada akhirnya apa yang berlaku semuanya tetap merupakan ketentuan Allah. Bezanya, apa yang terjadi kepada mereka yang mengutamakan batasan-batasan Allah mendapat jaminan pahala dan syurga sedangkan mereka yang gagal menjemput ketetapan dengan mentaati batasan-batasan itu akan menanggung akibat kebinasaan yang akan menjadi penyesalan. Penyesalan yang  tiada kesudahan.
Urusan jodoh adalah salah satu sampel nyata yang dapat melatih manusia untuk menggabungkan usaha manusiawi dan tawakkal (penyerahan diri) kepada Allah SWT. Bagaimana ia dilaksanakan? Persoalan yang sukar dijawap dengan tulisan bahkan sukar juga untuk dijawab dengan berbahasan.
Maha Suci Allah SWT yang telah memilih hambaNya sebagai wasilah kepada kebaikan. Maha Besar Allah mengaruniakan imajinasi dan ketajaman pandangan seorang hambaNya sehingga karyanya mampu menterjemahkan sedikit sebanyak realiti mengenai takdir, khususnya yang berkaitan dengan jodoh.
Hamba Allah yang saya maksud itu adalah penulis yang namanya tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia dan Indonesia. Beliau adalah Ustaz Habiburrahman Al-Shirazy. Novelnya telah meletup berkali-kali di pasaran Indonesia dan Malaysia. Ustaz  Habiburrahman dalam filemnya Ketika Cinta Bertasbih berjaya merungkai permasalahan jodoh dengan menghadirkan beberapa bentuk konflik seputar topik itu. Perceraian, poligami, khitbah (lamaran), perkahwinan yang dirancang keluarga, kebebasan memilih pasangan, persyaratan dalam pernikahan, orang tengah, wali dan sebagainya berjaya disampaikan dengan baik melalui filem ini.
Perceraian antara Anna dan suaminya Furqan adalah sebuah penyelesaian yang sangat wajar ditempuh bagi konflik yang menimpa mereka. Perceraian yang Allah SWT perbolehkan itu berjaya diungkapkan sebagai ‘rahmat’ kepada Anna. Khitbah atau lamaran. Dalam Islam ketika seseorang telah dilamar oleh seseorang, maka orang yang telah dilamar itu tidak boleh menerima lamaran orang lain sebelum urusan dan tindak lanjut dari lamaran pertama tadi diselesaikan. Hal ini jelas disampaikan ketika Azam yang sedang sakit membebaskan Vivi dari lamaran yang telah diajukannya. Kesannya, Vivi bebas untuk menikah atau dinikahkan kepada orang lain.
Ketika Cinta Bertasbih ini juga berjaya mempromosikan beberapa cara yang sihat lagi suci dalam mencari pasangan hidup atau mencarikan pasang hidup untuk orang lain. Babak Husna mencarikan jodoh untuk abangnya Azam, atau babak tetangganya memperkenalkan Vivi dan babak Azam meminta Kiai Luthfi mencarikan jodohnya adalah antara contoh yang sangat baik dan sihat yang memang perlu dibudayakan oleh masyarakat. Bahkan babak Pak (Namanya saya lupa pulak) yang menawarkan anak perempuannya kepada Azam adalah contoh yang sangat baik juga untuk dibudayakan dalam masyarakat kita.
Ada mutiara Islam yang indah yang baru saya temui melalui filem ini. Persyaratan dalam perkahwinan yang diajukan pihak wanita kepada suami untuk kebaikan wanita itu adalah satu hal yang mencerminkan kebebasan berdisiplin yang selama ini Islam junjung. Persayaratan itu adalah bukti betapa Islam sebenarnya memberi ruang agar wanita turut mempunyai hak dalam masyarakat, tetapi masih indah didalam kerangka disiplin Islam atau syariat. Bukan kebebasan yang kebinatangan. Hal ini sangat wajar. Bayangkan jika sang isteri seorang yang tidak mampu menghidu bau petai sebagai contoh. Bau petai mungkin dalam membuatnya sakit. Lalu dia menjadikan syarat untuk mengahwininya adalah agar suami tidak memakan petai selama berada bersamanya adalah satu hal yang sangat boleh diterima. Memang indah Islam itu dan keindahan itu berjaya dipamerkan filem ini.
Apa yang lebih menarik, filem ini berjaya meminimalkan watak orang yang tidak menutup aurat sehingga ke jumlah yang paling sedikit iaitu satu orang. Ya hanya satu orang. Bahkan pada penghujung cerita dia telah berjaya ditutupkan rambutnya dengan tudung. Semakin anggun memang kelihatannya. Filem ini juga berjaya menjadikan ia sebuah kisah yang menarik tanpa harus ada watak antagonis yang melampau. Hanya si wanita Israel yang jahat itu saja yang watak munculnya hanya sedikit sekali. Furqan yang pada mula kelihatan seperti kambing hitam dalam filem ini ternyata menjadi bersih pada saat-saat akhir.
Bagi orang seperti saya yang pernah menempuh kehidupan mahasiswa di Kaherah akan tersenyum lebar sambil menonton filem ini. Ternyata rinduku kepada Kota sesak dan penuh masalah itu sudah berputik. Saya rindukan mahasiswa Indonesia yang akan hadir mengetuk pintu rumah untuk menjual tempenya atau mengambil dan menghantar pakaian (khidmat dobi). Saya rindukan bahasa Mesir yang sangat enak jika dijadikan bahasa berlawak jenaka. Saya rindukan pemandu taksi yang ‘menggila’ dengan kereta Peugeot atau Fiat mereka. Saya rindukan segalanya di Mesir dan ia terubati dengan menonton filem ini.
Semoga Allah menjadikan kita dikalangan orang yang yakin kepadaNya, orang yang bersungguh-sungguh menyerahkan segala urusan hanya kepadaNya, orang yang benar-benar menjadikan kehidupan sebagai persembahan perhambaan kepadaNya, orang yang menjadikan niat dihatinya sentiasa kerana Allah hinggalah kepada urusan-urusan jodoh dan ajal. Semoga Allah merahmati kita semua dan menentukan yang terbaik.
Tahniah. Terima kasih atas sumbangan yang indah kepada dunia seni perfileman. Terima kasih kerana menyampaikan nilai-nilai Islam yang indah dalam karya sastera yang lembut. Seakan-akan menyerupai bayu yang mengalir. Mendamaikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan