Isnin, 20 Jun 2011

Tidak akan Melayu Hilang di Dunia?


Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas kesempatan dan ruang untuk mencatitkan secebis perkongsian buat semua. Mutakhir ini, banyak pihak sibuk memperdebatkan isu ketuanan bangsa. Persoalan ini terus diperkatakan dari awal penubuhan Persekutuan Malaya hingga kini. Malah dipolitikkan tanpa batas sehingga mencetuskan peristiwa 13 Mei. Natijah peristiwa itu, maka terhasillah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kononnya mahu kaum Melayu mencapai target ekuiti sebanyak 30%. Di penghujung DEB iaitu pada tahun 1990, ekuiti Melayu hanya 19%, jauh tersasar daripada target asal.
Kiasu
20 tahun kemudian, kerajaan yang sama masih lagi memanipulasi isu yang sama. Kerajaan yang gagal 20 tahun lalu masih lagi kekal sehingga ke hari ini dengan memainkan polemik “Ketuanan Melayu”. Merekalah juga yang mengaku bahawa mereka pembela bangsa yang sepatutnya menjaga dan melindungi hak ketuanan dan keistimewaan Melayu. Maka, propaganda ini terus dicanang melata untuk membawa doktrin politik bahawa kejatuhan BN bermakna kehilangan hak buat bangsa Melayu. Walhal, soal itu sudah dijamin dalam perlembagaan. Sesiapa pun yang menakluk takhta, perlu mempertahankannya. Namun, doktrin sebegini cukup sukar dibuang daripada minda bangsa Melayu terutamanya golongan emas. Boleh jadi terlalu terpengaruh dengan kata-kata penuh bersemangat panglima Hang Tuah:
“Tidak akan Melayu hilang di dunia.”
Tak tahulah sejauh mana kebenaran kata-kata yang dibawa turun-temurun tanpa riwayat yang sahih ini. Namun, kata-kata ini menggambarkan satu sikap yang ada pada kaum Melayu kita pada hari ini. KIASU!
Betulkah Melayu takkan hilang di dunia? Hebat benarkah bangsa Melayu? Sejenak menelusuri kisah-kisah kaum yang dimusnahkan oleh Allah dalam Al-Quran, nescaya kita bakal bertemu banyak kaum yang jauh lebih hebat daripada bangsa Melayu yang telah musnah.
Kedegilan Kaum ‘Ad
Kaum Nabi Hud AS, yang dikenal dengan kaum ‘Ad, menolak untuk beriman kepada Allah. Mereka merupakan kaum yang bijak dan hebat sehingga mampu mencipta benteng-benteng yang kukuh dan teguh menggunakan teknologi tercanggih di zamannya. Malangnya, mereka menolak ajaran Nabi Hud AS. Nabi Hud AS jug dituduh gila.
Meskipun baginda mengatakan tentang risalah Allah Ta’ala itu, tetapi kaum ‘Ad tetap menolaknya, dan kemudian dihancurkan seluruhnya dengan bencana yang dahsyat, datangnya angin taufan. Mula-mula kemarau yang panjang yang mematikan seluruh tanaman mereka, kemudian datang awan hitam yang menggumpal diatas awan, yang disangka membawa hujan, ternyata ia taufan yang memusnahkan mereka. Kisah ini diabadikan oleh Allah SWT dalam surah Al-A’raf.
Keangkuhan Fira’un
Kisah kaumnya Nabi Musa AS pasti biasa didengari semua. Fira’un dikurniakan oleh Allah begitu banyak nikmat dunia sehingga dia menjadi cukup angkuh dan sombong sehingga menganggap dirinya tuhan. Lalu, dia memaksa seluruh rakyat Mesir menyembahnya. Tatkala dia melihat sendiri bagaimana ahli-ahli sihir suruhannya untuk menentang Nabi Musa AS memeluk Islam, dia masih degil untuk beriman kepada Allah SWT.
Pelbagai usaha dilakukan untuk menghapuskan anak angkatnya sendiri, Nabi Musa AS bersama pengikut-pengikutnya. Episod itu berakhir dengan dia ditenggelamkan Allah di tengah laut bersama tentera-tenteranya tatkala cuba menyeberangi Laut Merah untuk membunuh Nabi Musa AS dan pengikut-pengikutnya.
Jangan Dabik Dada
25 39 Tidak akan Melayu Hilang di Dunia?
“Dan masing-masing, telah Kami berikan kepadanya contoh tauladan yang mendatangkan iktibar, dan masing-masing telah Kami hancurkan sehancur-hancurnya.” (Al-Furqan: 39)
Kita tidak perlu mendabik dada bahawa sesuatu bangsa itu tidak akan hilang di dunia. Ayat di atas cukup untuk dijadikan tamsilan bagi sesuatu bangsa yang meninggalkan agama Allah. Mereka mengingkari perintah Allah, mereka khianat, rasuah, sombong, angkuh dan sebagainya. Sebagaimana Allah SWT boleh memusnahkan kaum-kaum terdahulu, begitulah kita. Mereka dihapuskan terus segala baka keturunan tanpa seorang pun baka generasi mereka yang dapat menyambung sejarah bangsa yang dimurkai Allah itu.
‘Juara’ kepada bangsa ini asyik bercakap soal hak dan keistimewaan tanpa henti. Forum mahupun rapat umum golongan yang kononnya pembela bangsa ini sentiasa dipenuhi dengan kata-kata semangat dan doktrin palsu penuh hipokrasi “Hidup Melayu!!”. Tapi hakikatnya? Rasuah perkara biasa, judi mahu dihalalkan, Islam dipersendakan, penipuan, hutang menggunung dan lain-lain. Justeru, bila kita mahu berbincang soal kemajuan, keharmonian, perpaduan, integriti, kreativiti dan kejayaan? Siapa kata tidak akan Melayu hilang di dunia?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan